PENILAIAN DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN MATA PELAJARAN SEJARAH
PENGENALAN
Jadual Spesifikasi Ujian
Penggubalan sesuatu kertas ujian perlu mengikut spesifikasi ujian yang ditetapkan. Banyak pertimbangan yang harus dibuat semasa menyediakan soalan ujian. Ujian sebaiknya mewakili keseluruhan sukatan pelajaran, yang mungkin merangkumi komponen pengetahuan, kemahiran, dan sikap yang telah ditetapkan. Pertimbangan ini dibuat bagi memastikan para pelajar diuji dengan menggunakan soalan yang relevan dengan sukatan pelajaran atau objektif pengajaran yang telah disampaikan di dalam kelas. Penggubalan kertas ujian perlu mengikuti pelbagai proses, termasuk penyediaan Jadual Spesifikasi Ujian (JSU).
JSU adalah sebuah jadual yang menggambarkan ciri sesuatu ujian dari segi kandungan iaitu konstruk yang ditaksir, pemberatan setiap konstruk, konteks, san pemberatan taburan aras kesukaran. Tujuan JSU disediakan adalah untuk menghasilkan set soalan yang lebih berkualiti berbanding soalan yang hanya disediakan secara spontan dan tidak mengikuti aras ilmu. Selain itu, penyediaan JSU dapat membantu menghasilkan soalan yang mempunyai kesahan dan keutuhan.